Tuesday, 1 October 2013

Ilmu Itu Bukan Milikku

Tulis ini kutujukan buat anak-anak didik 5 PD 6 tahun 2013;

Sebagai seorang guru sudah sememangnya tugas mengajar matapelajaran  yang ditetapkan itu satu kewajipan yang menghalalkan rezeki yang aku terima.  Insaf diri sebab aku belum berjaya mendidik anak-anak murid sebagaimana para ulama mendidik anak murid mereka.  Bila diingat semula, rasa berdosa menyelubungi diri kerana tidak menyampaikan ajaran nabi sewaktu sesi pengajarn dijalankan.  Yang selalu berlaku, sebelum masuk ke dalam kelas, semangat berkobar-kobar untuk berkongsi ilmu Allah yang sedikit derngan anak-anak.  Walaubagaimanapun,  semanagat itu luntur apabila menjejak kaki ke dalam kelas.  Mungkin juga karenah mereka yang selalu menghilangkan mood aku untuk menjadi murabbi.

Sebenarnya, dalam banyak hal, aku yang salah.  Sebagai remaja, sememangnya mereka masih memerlukan tunjuk ajar untuk meneruskan liku-liku hidup yang semakin mencabar ini.  Walaubagaimanapun,  apabila 'sentuhan' yang dibuat berkali-kali tidak mendatangkan kesan,  naik angin juga aku dibuatnya.  Hari ini aku agak marah dengan kelas tingkatan 5 yang aku ajar.  Manakan tidak, bahasa sindiran tidak difahami,  cakap terus terang tidak dipatuhi.  Bukan tujuan aku mendabik dada bahawa akulah orang yang terbaik untuk mengajar mereka.  Tapi kalau dah tahu tidak dapat menguasai sesuatu topik, buatlah sesuatu.  Ini tidak segala tips yang aku kongsikan untuk mereka, dipandang sebelah mata pun tidak.

Sudah menjadi tabiatku, kemarahan di dalam kelas akan membuatkan diriku tidak tenang.  Alhamdulillah Allah masih kurniakan rasa tidak selesa dengan perkara buruk yang ku lakukan.  Aku mula 'membelek-belek' apakah perkataan yang keluar dari mulutku ketika 'angin' tadi.  Doa ku panjangkan agar segala perkataan yang kurang elok dipertuturkan pada ketika itu tidak menjadi kenyataan.  Terlajak perahu boleh diundur.... kalau dah terlajak perkataan.... sendiri mahu tahu.  Tapi aku rasa , 'taring' itu perlu ditunjukkan sekali sekala.  Bagaimana kita mahu menunjukkan taring, terpulang kepada kreativiti.  Apa pun yang kita lakukan pulangkan semuanya kepada yang empunya hati anak-anak itu.  Kesedaran di sanubari anak-anak itu bukan di bawah kawalan kita.

Insaf dengan kedudukan bangsa kita yang seperti melukut di tepi gantang, aku rasa cukup sedih dengan tingkah laku kebanyakan anak bangsa sendiri yang tidak kisah sangat dengan pelajaran dan akhlak.  Setiap hari ada sahaja 'onar' yang dilakukan sehinggakan aku mula dengan rakan guru dari bangsa lain.

Monday, 8 July 2013

Welcome Ramadhan

Pelancaran Ihya' Ramadhan telah dijalankan di sekolah pada hari ini.  Simple but sweet.  Tazkirah ringkas dari Ustaz Mohd Farhan menyebabkan saya berfikir... mampukah aku menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan lalu.

Sehari dua lagi umat Islam akan menjalanik kursus secara intensif.  Sewajarnya kita memiliki objektif yang ingin dicapai selepas menghadiri kursus tersebut.  Saya yakin kita semua memiliki azam yang tinggi untuk menjadikan diri kita lebih baik setelah mengikuti kursus selama sebulan..... lama tu.  Lantas bagaimana kita menyambut permulaan Ramdhan ini ye?

Teringat saya praktis yang dijalankan oleh salah seorang rakan saya.  Dia akan memastikan rumah dikemas dan persiapan dibuat sebelum Ramadhan menjelma.  Bak kata orang macam nak sambut raya sebab nak sambut bulan penuh keberkatan.

Anak-anak semestinya sudah mula merasa agak resah... maklumlah tak dapat makan pada waktu siang.  Teringat saya kisah berpuasa sewaktu sekolah rendah dulu.... Puasa penuh selalu, tuang bukan sekali.  Tapi itu waktu masih kecil.  Maklumlah nak kena kayuh basikal berkilometer jauhnya.   Dalam perjalanan balik.... adalah kesempatan yang diambil.  Masa tu  tak faham lagi maksud ihsan.

Wahai Tuhan Rabbul Jalil.  Berikanlah aku , kaum keluargaku dan anak-anak didikku kekuatan untuk mengimarahkan Ramadhan dengan sebaiknya.

Sunday, 24 March 2013

Bukan Sekadar A

Topik 'Bukan Sekadar A' yang dibualbicarakan melalui radio IKIM menarik untuk dibincangkan.  Memang tidak dinafikan bahawa pencapaian A dalam SPM seolah-olah menafikan segala salahlaku yang telah dilakukan selama 2 tahun di sekolah ini.  Mana tidaknya beberapa orang pelajar yang waktu'hayatnya' di sekolah ini sentiasa menjadi sasaran 'marah' guru-guru tiba-tiba dinobatkan sebagai salah seorang pelajar terbaik sekolah.  Peristiwa ini mengingatkanku  kepada salah seorang pelajar 5 Elektrik 1 beberapa tahun lalu ..... tidak perlu ku sebut namanya, walaupun masih segar lagi namanya dalam ingatanku.  Mana tidaknya dia muncul sebagai pelajar terbaik Fizik.. (bukan calang-calang).  Ingat lagi waktu beliau di tingkatan 5, penat kami guru-guru disiplin menguruskan kes yang melibatkan beliau.  Nasib baik dia dapat kelakuan baik sebab poin meritnya melayakkan beliau untuk mendapat kelakuan baik.  Namun itulah hakikat yang terpaksa guru-guru terima.  Walaubagaimanapun sebagai seorang guru kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak didik.  Tidak dapat dinafikan bahawa ada ketikanya hati kami terguris dengan tingkahlaku mereka.  InsyaAllah kemaafan kami mengiringi perjuangan kalian.

Memang aku tahu bahawa MF seorang yang bijak.  Cuma mungkin pergaulannya yang menyebabkan dia berkelakuan di luar kawalan.  Anyway aku doakan dia dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan di dalam rahmat Illahi.  Mungkin juga dia sudah berumahtangga.  Doa cikgu moga anda selamat sejahtera.

Hakikatnya kita perlu memperluaskan skop A atau kecemerlangan ini.  Tertarik dengan pandangan seorang guru Biologi bahawa semua pelajar perlu mendapat A (untuk Akademik, Akhlak dan Agama).  Aku berpendapat ramai di kalangan masyarakat kita yang telah mengubah pandangan mereka kepada keperluan seseorang remaja atau pelajar itu mendapat A dalam semua aspek.  Apa pun yang paling penting bagiku adalah AGAMANYA.  InsyaAllah kalau agama dijaga yang lain akan ikut serta.

Thursday, 21 March 2013

Tertuailah Hasilnya.....

Bagaimana benih yang ditanam , begitulah hasil yang dituai.

15, 793 calon SPM 2012 telah mendapat A untuk semua matapelajaran yang diambil.  Itulah maklumat yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran.  MasyaAllah makin ramai orang pandai di Malaysia ni rupanya.  Rata-rata pelajar muslim yang ditemubual menyatakan bahawa mereka mengamalkan baca Quran, dan solat hajat sejak awal lagi.  Sejuk perut ibu yang mengandungkan.  Alhamdulillah.

Melihat reaksi semua pihak, pelajar, ibu bapa, guru  dan masyarakat umum, teringat saya kepada program Transformasi Pendidikan Vokasional.  Nampaknya tenggelam sekejap semangat melahirkan tenaga separuh mahir melalui kolej vokasional.  Manakan tidak , tumpuan diberi kepada GPS sekolah dan pelajar yang mendapat straight A.  Lantas seorang guru saya bertanya.  Macamana kita nak menilai prestasi pelajar KV?

Penilaian terhadap pelajar KV perlu dibuat dari beberapa sudut.  Pencapaian akademik sudah menjadi faktor sekunder menentukan kejayaan mereka.  Sahsiah pelajar dan kebolehpasaran mereka di bidang masing-masing jadi penentu.  

Sebenarnya kedua-dua bidang pendidikan ini mempunyai objektif dan kelebihan masing-masing.  Aku yakin semua dasar dibuat untuk kepentingan negara.  Memang ada kelemahan di sana sini.  Namun apa yang penting bagi seorang pensyarah yang telah 'sign' mati Yang Menurut Perintah,  maka aku perlu mencuba sehabis baik bagi memastikan anak-anak didik KV akan menjadi insan berkualiti.  Tidak ada jalan lain jika aku mahu rezekiku berkat.

Berusahalah untuk menanam benih terbaik bagi ladang kita kerana kita akan bangga dengan hasilnya.  Anak-anak didik kita adalah amanah dan punca kita mendapat rezeki.  Maka mohonlah keberkatan rezeki dengan meminta kekuatan dar Yang Maha Esa untuk sentiasa melimpahi diri kita para pensyarah istiqamah dalam 'menta'adib'  mereka.





Saturday, 16 March 2013

Triple di Hari Minggu

Deringan telefon mengganggu konsentrasiku sewaktu menyaksikan anak-anak dari Sekolah SRI Johor Bahru berlari acara 200 meter.  Pembekal menelefonku  dan meminta ku untuk datang ke sekolah.  Ada orang nak pasang signage katanya.  Alhamdulillah setelah berkali-kali aku meminta mereka 'melangsaikan' hutang kerja mereka, akhirnya dapat juga mereka buat.  Ada juga guru yang bertanya... apa kait mengaitnya aku menguruskan keceriaan sekolah....  Bukannya guru keceriaan atau penyelaras 5S lagi..  Aku hanya bantu mana yang mampu.  Nak menampung 'hutang-hutang' pada sekolah dan kerajaan.  Almaklum sahaja lah 8 hingga 5 petang yang diperuntukkan untuk aku meraih gaji setiap hujung bulan tu... kadang-kadang tak cukup jumlah jamnya.  Harap-harap sumbangan yang tak seberapa ini mampu menampal waktu kerja yang dah 'terkoyak' tu.

Sedikit kepuasan apabila melihat kerja-kerja yang ku uruskan hampir selesai... Kalau nak diikutkan banyak lagi yang boleh dibuat... Namun apakan daya semuanya dalam kotak angan-angan je... Bukan rumah kita yang boleh buat ikut selera kita.   Secara jujur aku rasa perubahan dari sekolah ke kolej belum nampak secara fizikal.  Banyak lagi perubahan  yang perlu dilakukan.... Tugas siapa ye ???  Teringin juga untuk membantu tapi urusan kurikulum yang diletak di atas batu jembala pun tak selesai lagi.

Aku sempat berbual-bual dengan pekerja-pekerja yang sedang buat kerja tu.  3 orang semuanya.  Yang seorang tu,  Fairus namanya. Nampak bersungguh-sungguh kerjanya.  Tanya dia tak de cuti ke hujung minggu ni.  "Sabtu Ahad pun kami kerja kak" keluhnya.  " Tak pe lah... dapat gaji triple untuk hujung minggu" jawab ku cuba memujuk.  Tersenyum Fairus mendengar jawapanku.  Fahamlah aku apa maksudnya.

Triple.... itulah nilai hujung minggu.  Baik kita berkerja atau bersama keluarga di rumah.  Hujung minggu amat bernilai.  Lantas adakah kita meletakkan hujung minggu yang bernilai iu di tempat yang sepatutnya?  Jika di rumah.... adakah kita sibukkan diri kita dengan kerja-kerja rumah sahaja??? Bagaimana dengan anak-anak? Kadang-kadang kita kita lebih banyak melayan rumah dari anak-anak sewaktu hujung minggu.  Teringat kata-kata Nursaadah , anakku yang berada di tahun 1 apabila melihat aku sibuk menggosok baju petang tadi. " Besok mama sibuk nak mop rumah pulak!".  "Memanglah.... kita kan orang perempuan... kenalah buat kerja-kerja rumah", jawabku cuba memberi kefahaman kepadanya.  Prihatin juga dia rupanya.

Terfikir juga untuk mengambil house maid untuk hujung minggu.  Kawan-kawan kata RM50 sehari.  Nak ke tak nak ambil ye???  Kena fikir dulu nilai RM50 sehari yang dibayar tu tertampung tak dengan nilai keberadaanku dengan anak-anak.... Orang kata duit boleh dicari...

Malam hari menyandat sotong
Pergi dengan anak Pak Lebai 
Nak buat sesuatu kena fikir rugi untung
Jangan pulak kampung tergadai

Kampung tergadai tidak mengapa
Asalkan maruah terus terjaga
Belailah anak ketika masih di depan mata
InsyaAllah merekalah pembela di hari tua







Thursday, 21 February 2013

Fikir Di Luar Kotak

Sememangnya cara berfikir orang bisnes berbeza dengan kebanyakan kakitangan awam.  Peluang wujud bagi setiap masalah.

Kagum dengan cara berfikir Encik Muhamad Ghazali Ahmad dari Caliph Bumi, sebuah syarikat yang menawarkan sistem pengurusan pangkalan data dari Singapura.

Hari ini kumpulan KIK sekolah mengadakan perjumpaan dengan usahawan bagi menjalian kerjasama pintar di antara kedua-dua pihak.  Secara jujur saya kurang yakin dengan kemampuan produk KIK kami untuk bersaing di pasaran.  Entah mengapa susah benar untuk memujuk diri ini agar lebih positif dalam hal ini.  Walaubagaimanapun, saya perlu juga mencari segala kebaikan yang ada bagi memastikan produk ini  boleh dibawa pergi lebih jauh.  Atau setidak-tidaknya boleh dipertandingkan di peringkat yang lebih tinggi.

Banyak benda yang saya pelajari hari ini ; sebagai insan yang dikurniakan aqal fikiran, kita masih belum 'stretch out our mind capacity to the maximum limit'.  Pada hal otak kita ni mempunyai kemampuan yang amat menakjubkan.  Sikap suka mencari jalan mudah menyebabkan hasil yang diperoleh juga setakat cukup makan.  Saya rasa selesa dengan apa yang ada padahal di luar sana orang berlumba-lumba untuk menghasilkan yang terbaik.  Saya berdoa moga Allah beri saya kekuatan untuk melawan runtunan hati yang tidak mampu membangun ummah ini.


Tuesday, 12 February 2013

Istimewanya 'post' seorang guru

Setelah hampir 20 tahun menceburkan diri dalam dunia perguruan, saya terfikir untuk mengabadikan coretan suka dan duka di blog.  Bukan untuk menunjuk-nunjuk apa yang telah dibuat tetapi hanya sebagai satu memori indah yang akan diimbau kembali apabila bersara kelak.... 13 tahun lagi .  Masa tu tak  tentu dah banyak memori indah sebagai seorang guru mula berlalu dari ingatan.

Sememangnya kerjaya guru adalah kerjaya seumur hidup.  Kalau tak percaya cuba kita lihat betapa ramai bekas guru masih lagi dipanggil cikgu hingga akhir hayat.  Begitu juga jika berjumpa rakan-rakan suami... mereka lebih suka memanggil kita dengan nama cikgu.  Terharu dan terimakasih....