Thursday, 21 February 2013

Fikir Di Luar Kotak

Sememangnya cara berfikir orang bisnes berbeza dengan kebanyakan kakitangan awam.  Peluang wujud bagi setiap masalah.

Kagum dengan cara berfikir Encik Muhamad Ghazali Ahmad dari Caliph Bumi, sebuah syarikat yang menawarkan sistem pengurusan pangkalan data dari Singapura.

Hari ini kumpulan KIK sekolah mengadakan perjumpaan dengan usahawan bagi menjalian kerjasama pintar di antara kedua-dua pihak.  Secara jujur saya kurang yakin dengan kemampuan produk KIK kami untuk bersaing di pasaran.  Entah mengapa susah benar untuk memujuk diri ini agar lebih positif dalam hal ini.  Walaubagaimanapun, saya perlu juga mencari segala kebaikan yang ada bagi memastikan produk ini  boleh dibawa pergi lebih jauh.  Atau setidak-tidaknya boleh dipertandingkan di peringkat yang lebih tinggi.

Banyak benda yang saya pelajari hari ini ; sebagai insan yang dikurniakan aqal fikiran, kita masih belum 'stretch out our mind capacity to the maximum limit'.  Pada hal otak kita ni mempunyai kemampuan yang amat menakjubkan.  Sikap suka mencari jalan mudah menyebabkan hasil yang diperoleh juga setakat cukup makan.  Saya rasa selesa dengan apa yang ada padahal di luar sana orang berlumba-lumba untuk menghasilkan yang terbaik.  Saya berdoa moga Allah beri saya kekuatan untuk melawan runtunan hati yang tidak mampu membangun ummah ini.


Tuesday, 12 February 2013

Istimewanya 'post' seorang guru

Setelah hampir 20 tahun menceburkan diri dalam dunia perguruan, saya terfikir untuk mengabadikan coretan suka dan duka di blog.  Bukan untuk menunjuk-nunjuk apa yang telah dibuat tetapi hanya sebagai satu memori indah yang akan diimbau kembali apabila bersara kelak.... 13 tahun lagi .  Masa tu tak  tentu dah banyak memori indah sebagai seorang guru mula berlalu dari ingatan.

Sememangnya kerjaya guru adalah kerjaya seumur hidup.  Kalau tak percaya cuba kita lihat betapa ramai bekas guru masih lagi dipanggil cikgu hingga akhir hayat.  Begitu juga jika berjumpa rakan-rakan suami... mereka lebih suka memanggil kita dengan nama cikgu.  Terharu dan terimakasih....