Wednesday, 5 November 2014

Pandanglah dari sisi yang lain

Sudah sememangnya kita lebih suka melihat sesuatu benda atau perkara itu dari perspektif orang-orang biasa.  Namun, jika kita membenarkan diri dan fikiran kita menerawang dan bebas berfikir kita akan mampu melihatnya dari sudut yang berbeza dari biasa.  Pengalaman ini adakalanya membawa konotasi positif dan tidak kurang yang negatif.

Hari ini aku 'mengunjungi' sebuah stor di kolej bersama seorang vendor, Encik Fauzai.  Keadaan stor yang berselerak dan langsung tidak terurus membuat aku terasa malu.  Maklum sahajalah vendor tu baru sahaja puji mengatakan persekitaran kolej sangat bersih dan nyaman.

Memang aku amat malu dan 'marah' dengan sikap beberapa rakan yang tidak kisah dengan harta benda kolej.  Segala peralatan yang telah digunakan dicampak sahaja di merata tempat di dalam stor tersebut.  Seingat aku, kali terakhir stor tersebut dikemas adalah pada tahun 2012, sewaktu program 5S mula dilancarkan.  Pada waktu itu aku ditugaskan menjadi penyelaras.  Tidak sedikit wang peribadi yang kami, para pensyarah laburkan untuk memastikan program 5S berjalan dengan baik.

Keadaan stor itu menggambarkan sistem pengurusan yang perlu diperbaiki.  Sebagai salah seorang barisan pemimpin kolej, sudah tentu aku merasa terpanggil untuk membetulkan keadaan tersebut sekadar yang termampu.  Pada hemat aku, jika kita mampu mengurus tempat yang tersembunyi dengan baik, maka sudah pasti tempat khalayak umum berada dalam keadaan 'tip top'.

Bak kata Dato' Dr Fadzillah Kamsah ; kalau nak tahu seseorang itu pembersih atau tidak, tengiklah keadaan tandas di rumah orang itu.  Aku setuju 100% dengan kenyataan itu.

Walaubagaimanapun, janganlah terus berpandangan negatif jika sebaliknya yang berlaku.  Sikap kurang pembersih seseorang itu tidak boleh diletakkan kesalahannya kepada orang tersebut secara total.  Banyak insan atau keadaaan lain yang menghasilkan individu tersebut.  Tidak mungkin untuk seseorang mengamalkan tabiat tersebut kalau bukan kerana 'didikan' keluarga atau masyarakat atau pihak berkuasa.